Pengenalan
Aktiviti Perancangan Bandar dan desa diletakkan sebagai tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Ini terkandung di bawah Perkara 74 dan 77 dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bersama-sama bertanggungjawab kea rah mempastikan pemeliharaan, pemajuan dan penggunaan tanah dan bangunan yang teratur dan selamat untuk kesejahteraan rakyat.
Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172]
Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] diperbuat menurut Fasal (4) Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan. Ianya hanya berkuat kuasa di negeri-negeri Semenanjung Malaysia. Walau bagaimanapun pemakaian bagi negeri-negeri hanya boleh dibuat pada suatu tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri yang berkenaan dengan persetujuan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Bagi negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, adalah menggunakan undang-undang perancangannya yang tersendiri. Pada asalnya Akta 172 mengandungi 9 Bahagian dengan 59 Seksyen dan kemudiannya telah dipinda sebanyak 4 kali di antara tahun 1993 hingga tahun 2007.
Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Pindaan)1993 [Akta A866]
Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] telah dipinda pada tahun 1993 dan pindaan akta tersebut dikenali dengan Akta A866. Akta ini dipinda dengan memasukkan peruntukan berhubung dengan aktiviti pembetungan agar ianya selaras dengan Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993 [Akta 508] yang digubal pada tahun yang sama.
Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Pindaan) 1995 [Akta A933]
Pada tahun 1995, sekali lagi Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] dipinda bagi menangani kelemahan yang wujud akibat pembangunan yang mengabaikan pemeliharaan alam sekitar khususnya yang berkaitan dengan perintah pemeliharaan pokok. Keseluruhan peruntukan berkaitan dengan perintah pemeliharaan pokok ini dapat dilihat di Bahagian VA bermula daripada Seksyen 35A hingga 35H Akta 172.
Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Pindaan) 2001 [Akta A1129]
Pada tahun 2001, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] dipinda sekali lagi dan dikenal sebagai Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2001 [Akta A1129]. Ianya dibuat bagi menangani masalah yang timbul khususnya dalam sektor hartanah dan mewujudkan peranan Kerajaan Persekutuan dalam hal ehwal perancangan bandar dan desa selaras dengan semangat tanggungjawab bersama yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Akta ini juga memuatkan dua bahagian baru iaitu Bahagian IIA Jawatankuasa Perancang Wilayah dan Bahagian IIB Rancangan Fizikal Negara. Pindaan ini juga memperkenalkan beberapa pendekatan baru khususnya dalam sistem rancangan pemajuan dan juga kawalan perancangan dalam Akta 172.
Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Pindaan) 2007 [Akta A1313]
Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 [Akta 172] telah dipinda pada tahun 2007 dan dikenali dengan nama Akta A1313. Akta ini dipinda dengan memasukkan peruntukan berhubung dengan pengurusan sisa pepejal terkawal dan pembersihan awam.
Tujuan meminda Subseksyen 22(2) Akta 172 ialah untuk membolehkan pihak berkuasa perancang tempatan mengambil kira peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672] semasa menguruskan sesuatu permohonan untuk mendapatkan kebenaran merancang. Akta 672 ini telah diwartakan pada 30 Ogos 2007.