AYER KEROH, 8 Ogos 2025 – PLANMalaysia Melaka telah menganjurkan Bengkel Kumpulan Inovasi & Kreatif (KIK) Peringkat Jabatan selama dua hari pada 7 dan 8 Ogos 2025 di MITC Hotel, Melaka, dengan tema “Idea Biasa, Impak Luar Biasa”.
Bengkel ini menjadi platform penting bagi warga kerja untuk menjana idea penambahbaikan proses kerja, memupuk budaya inovasi, mengasah kemahiran komunikasi berkesan, dan meningkatkan keyakinan diri dalam pembentangan. Hari pertama menampilkan perkongsian ilmu daripada Prof. Ir. Ts. Dr. Sivarao Subramonian dan Dr. Abdul Zuhair bin Abd. Khalim dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), yang membuka perspektif baharu mengenai inovasi dari sudut praktikal dan kreatif.
Hari kedua pula memberi tumpuan kepada sesi brainstorming individu menggunakan template khas yang disediakan urus setia. Pendekatan ini membolehkan setiap peserta menyumbang pandangan secara tersusun dan berani membentangkan cadangan tanpa tekanan atau persaingan tidak sihat.
Turut hadir memeriahkan bengkel ialah YBrs. Encik Mursidin bin Ismail, Timbalan Pengarah PLANMalaysia Melaka. Setiap idea yang dikemukakan – sama ada kecil atau besar – diraikan sebagai potensi memperkukuh sistem kerja jabatan, sejajar dengan aspirasi membina budaya inovasi yang inklusif, kreatif dan berimpak tinggi.